APRIL 2025

Perumahan Berkonsepkan Darul Hana Akan Dibangun Di Miri


MIRI: Kunjungan Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Miri membawa hadiah istimewa apabila beliau mengumumkan projek perumahan bakal dibina di kawasan Padang Kerbau di sini.

Menurutnya, perumahan berkonsepkan Darul Hana di Kuching itu merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan kawasan penempatan selamat kepada penduduk yang masih tinggal di tebingan sungai. 

Katanya, projek perumahan ini akan dibina di atas tanah berkeluasan 200 ekar dengan fasa pertamanya membangunkan 200 unit rumah.

“Kita akan bangunkan 200 ekar di Padang Kerbau. Fasa pertama akan membangunkan 50 ekar merangkumi 200 lot rumah.

“Saya telah meluluskan RM200 juta untuk kawasan tersebut dibangunkan bagi fasa pertama dan kita akan membangunkan sepenuhnya 200 ekar perumahan ini di tengah-tengah bandar Miri,” ujar beliau.

Beliau mengumumkan berita gembira itu di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran gabungan lima cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Seperti projek-projek sebelum ini, Kerajaan Sarawak jelas Abang Johari akan menampung sepenuhnya kos menembok tanah, pemasangan infrastruktur elektrik dan air, jalan raya serta parit konkrit bagi projek berkenaan.

Ini termasuk menampung wang pendahuluan berjumlah RM10,000 bagi memudahkan rakyat memiliki rumah kediaman mereka, tambahnya.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, timbalan-timbalan menteri.